Resepi Seri Muka Pandan Sedap, Mudah Guna Sukatan Cawan

Resepi kuih seri muka atau orang utara panggil pulut sekaya yang gerenti jadi dan pasti sedap. Resepi ni dikongsi oleh Cikgu Jun.

Setelah cuba masak seri muka resepi ni, terus rasakan inilah the perfect seri muka yang di cari-cari selama ini.

Bahan-bahannya semua sama je macam resepi, cuma biasalah kan kalau resepi orang lama ni banyak nak kena agak-agak, jadi bila dapat resepi yang dah ada sukatan memang senang nak buat. 

Cuma ada sedikit sahaja penambahan sahaja dari resepi asal.

Boleh juga kalau anda nak masak sekejap bahagian hijau atas tu bagi suam sikit sebelum kukus. Tapi Nor Al Fatihah lebih prefer kukus je terus cara orang lama.

Memang sedap kuih ni. Kalau buat minum petang dengan Teh 0 sambil mem’bawang’ confirm lah tak sedar dah habis setalam.

Bahan Resepi Seri Muka Pandan

Sebelum buat bancuhan pandan, masak pulut dulu di dalam loyang pengukus.

Sambil pulut masak, sambil tu buat adunan pandan untuk dituangkan terus atas pulut bila dah masak nanti.

Bahan Resepi Pulut Seri Muka

  • 2 ½ cawan beras pulut (basuh dan rendam dalam air selama 4 jam)
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 ½ cawan air
  • 2 sudu teh garam halus

Bahan Lapisan Hijau Pandan

  • 2 Cawan santan pekat (Nak guna santan kotak pun tak masalah)
  • 1 Cawan air daun pandan (kisar 4-5 helai daun pandan + 1 cawan air. Kemudian tapiskan)
  • 1 Cawan air
  • 1 Cawan + 3 sudu besar gula pasir
  • 2 Biji telur gred B
  • ½ Cawan tepung gandum
  • ½ Cawan tepung kastad
  • Sedikit pewarna hijau epal

Cara Penyediaan Seri Muka Sukatan Cawan

Cara penyediaan Seri Muka Pandan ni kite bagi 2 tahap, yg pertama tahap nak buat Lapisan Pulut , yg kedua tahap nak cara untuk Lapisan Hijau Pandan, jom lihat.

Cara Buat Lapisan Pulut

  1. Basuh dan rendam beras pulut selama 4 jam. Lepas tu toskan.
  2. Sediakan loyang saiz 10 inci yang dah siap disapu minyak dan alas dengan plastik.
  3. Masukkan beras pulut yang dah siap ditos tadi ke dalam loyang.
  4. Dalam mangkuk lain, kacau santan bersama air dan garam.
  5. Kemudian tuang ke dalam pulut dan ratakan.
  6. Sebelum tu panaskan siap-siap air pengukus.
  7. Masukkan loyang dan kukus pulut selama 35 minit dengan api yang sederhana.
  8. Jangan lupa tutup penutup periuk dengan tuala supaya wap tak menitik atas pulut.

Cara Buat Lapisan Hijau Pandan

  1. Satukan kesemua bahan-bahan dan tapiskan ke dalam periuk.
  2. Pasang api sederhana dan sentiasa kacau adunan sampai naik wap sahaja. Lepas tu terus padamkan api.
  3. Lepas pulut dah masak, kacau dulu pulut.
  4. Kemudian tekan-tekankan dan ratakan semula menggunakan senduk atau spatula.
  5. Tapiskan adunan pandan tadi sambil tuangkan atas pulut secara perlahan-lahan menggunakan senduk.
  6. Lepas tu kukus semula dengan api yang sederhana selama 35 minit.
  7. Balut penutup periuk dengan tuala supaya tak menitis air wap atas kuih.
  8. Lepas dah 35 minit, buka tudung periuk dan biarkan kukus sekejap dalam 5-10 minit tanpa penutup.
  9. Ini untuk pastikan permukaan pandan tu licin dan kering airnya.
  10. Sebelum potong, sejukkan dulu dalam 2-3 jam dalam peti ais.
  11. Lepas tu baru keluarkan dari loyang dan potong kuih.
  12. Sedia untuk dihidangkan.

Catatan

  • Bahagian pulut kukus kena lebih berasa sikit masinnya supaya dapat seimbangkan dengan rasa manis bahagian atas hijau.
  • Tunggu kuih sehingga betul-betul sejuk dahulu barulah dipotong. Kalau masih panas nanti kuih lembik dan tak cantik bila potong.
  • Sapu pisau dengan sedikit minyak supaya mudah dipotong.

Betapa nikmatnya makan kuih yang manis berlemak ni masa minum petang dengan kopi panas.

Kalau nak buat juadah petang, boleh buat kuih ni belah pagi. Mudah nak potong nanti.

Kalau anda nak tukarkan pada perisa gula merah, boleh bancuh gula merah menggantikan air pandan yang dikisar tadi. Begitu juga kalau pakai perisa lain.

Lepas ni kalau nak cuba, boleh la ikut cara buat kuih seri muka lembut dan sedap yang dikongsikan oleh Puan Nor Al Fatihah ni. Semoga berjaya.

Originally posted 2022-09-04 03:22:00.

Tinggalkan komentar