Resepi Rempeyek Sedap

Rempeyek ni kalau makan krup krap rangup sedap dan kacang serta ikan bilisnya lebih memang puas hati.

Fikir nak makan apa untuk kudapan bila berehat-rehat kat rumah tu.

Apa lagi, bolehlah buat rempeyek ni. Buat sebalang boleh makan puas. Sebalang ni pun kat luar dah harga RM15.

Rempeyek salah satu kudapan popular di kalangan orang Malaysia, biarapun terdapat pelbagai jenis rempeyek, apa yang penting rempeyek mestikan rangup dan sedap.

Kalau korang pernah cuba buat sendiri tetapi hasil kejadiannya kurang rangup, jangan putus asa, ini ada tip yang mudah dan boleh korang cuba supaya kali ini rempeyek yang korang buat bukan hanya rangup tetapi sedap juga. Silap gaya boleh buat bisnes.

Resepi Rempeyek Rangup Sedap

Kalau anda perasan rempeyek ni ada 2 jenis iaitu rempeyek kacang dhal dan rempeyek kacang tanah. Yang kita buat ni ialah rempeyek kacang tanah.

Bahan Rempeyek Rangup Sedap

  • 1 Paket Tepung Beras (Satu Gajah)
  • 1 Cawan Ikan Bilis (Dikisar)
  • 1 Biji Telur
  • 2 Sudu Ketumbar (Dikisar)
  • 1 Sudu Jintan Putih
  • 1 Sudu Jintan Manis
  • 1 Cawan Santan Kelapa (Tak Perlu Pekat Sangat)
  • 1 Sudu Kecil Kapur (Bancuh Dalam Air Bagi Larut)
  • Sedikit Garam
  • Ikan Bilis Di Belah Untuk Hiasan
  • ½ Kilo Kacang Tanah Untuk Tabur
  • Minyak Untuk Menggoreng
  • Acuan Rempeyek

Cara Penyediaan Rempeyek Rangup Sedap

  1. Sebelum mula bancuh adunan, jemur dulu kacang tanah untuk pastikan kacang tu kekal rangup walau selepas digoreng nanti
  2. Kemudian kisar (kisar secara kering) bawang putih, jintan manis, jintan kasar, dan biji ketumbar. Yang ini sebenarnya nak buat lebih pun boleh. Terpulang ikut rasa masing-masing.
  3. Selepas tu sediakan bekas/besen. Masukkan tepung, bahan yang dah dikisar, santan, kapur makan, telur, garam secukup rasa dan air. Kacau sehingga sebati sepenuhnya.
  4. Lihat bancuhan adunan ni. Kena pandai buat sukatan air. Kalau adunan terlalu pekat, campurkan sedikit air. Kalau aduanan terlalu cair, campurkan sedikit tepung.
  5. Pastikan ada acuan untuk menggoreng rempeyek. Panaskan minyak dalam kuali.
  6. Tuangkan adunan dalam acuan.
  7. Taburkan ikan bilis dan kacang tanah atas adunan tu
  8. Dan celupkan ke dalam minyak yang betul-betul panas.
  9. Gorengan rempeyek yang menjadi ialah apabila rempeyek tu tertanggal sendiri dari acuan. Dan strukturnya yang tak begitu tebal atau nipis pun menandakan rempeyek tu menjadi juga.
  10. Bila dah garing dan warna bertukar coklat-coklat perang, dah boleh angkat.
  11. Buat proses yang sama sehingga adunan habis. Jangan lupa kacau dulu adunan setiap kali nak menceduknya ke dalam acuan untuk pastikan ia sentiasa sebati dan sedap.

Catatan

Untuk dapatkan rempeyek yang rangup dan cantik, perlu tengok struktur adunan kita tu.

Boleh cuba gorengkan dulu sekeping dua. Kalau gorengan tu terlalu tebal, maksudnya adunannya pekat sangat. Jadi, tambahkan sedikit air.

Begitu juga sebaliknya. Kalau rempeyek tu terlalu nipis, maksudnya adunannya terlalu cair.

Kalau terlalu cair, nanti kacang dan ikan bilis tu susah untuk melekat semasa gorengan. Jadi, perlu tambahkan sedikit tepung.

Lagi sedap kalau ikan bilis dan kacang tanah tu ditabur banyak atas adunan. Barulah sedap semasa menikmatinya.

Bagi penggemar ikan bilis, sebenarnya lagi bestkan kalau lebihkan ikan bilis berbanding kacang tanah. Begitu juga sebaliknya.

Terpulang pada citarasa masing-masing. Itulah kelebihannya kalau buat sendiri rempeyek ni berbanding beli sendiri.

Kadang-kadang ada penjual yang meletakkan ikan bilis dan kacang yang sedikit sahaja. Nak makan pun tak puas.

Untuk bulan puasa dan hari raya akan datang ni bolehlah buat sendiri untuk hidangan keluarga dan tetamu nanti.

Ikut je cara buat rempeyek sedap dan rangup ni. Sangat mudah dan confirm jadi!

Originally posted 2022-08-31 06:55:43.

Tinggalkan komentar