[Mudah] Resepi Popiah Basah Sedap Sangat!

Siapa suka makan popia basah? Asyik beli je di pasar malam, lepas ni bolehlah cuba buat sendiri. Tak susah pun.

Popia basah ni macam-macam gaya kita tengok orang jual. Kalau kat kedai kuih tu semua memang nampak sedap-sedap.

Tapi kadang-kadang isi pula tak gemuk. Kalau buat sendiri ni lebih puas hati. Buat popia basah paling simple pun tak kisah. Janji kena dengan citarasa.

Jomlah cuba resipi perkongsian saudari Ziela Lewis ni. Memang mudah dan senang untuk dihasilkan. Anda boleh cuba nanti.

Resepi Popia Basah Sedap

Bahan Untuk Resepi Kulit Popia Basah Sedap

  • 2 Cawan tepung gandum
  • 1 Biji putih telor
  • 3/4 Cawan air
  • 2 Sudu makan cuka
  • Secubit garam

Bahan Untuk Inti Popia Basah Sedap

  • 1/2 Biji kobis – di racik halus
  • 3 Biji sederhana besar carrot – di sagat halus
  • 1 Biji sederhana bawang besar
  • 3 Ulas bawang putih
  • 1 Sudu besar sos tiram
  • 1 Sudu makan udang kering
  • Garam secukupnya
  • Minyak untuk menumis

Bahan Untuk Sambal Popia Basah

  • 15 Tangkai cili kering
  • 1 Biji bawang besar
  • 5 Ulas bawang putih
  • 1 Sudu besar gula perang
  • 2 Sudu besar kicap manis
  • Minyak untuk menumis
  • Garam, perasa dan bawang goreng secukupnya
  • Kacang kisar – jika suka

Cara Penyediaan Resepi Popia Basah

Cara Penyediaan Untuk Kulit Popia Basah

  1. Campurkan kesemua bahan dalam mangkuk adunan. Gaulkan (macam buat cekodok) kemudian tutup dan biarkan sebentar sekurang-kurangnya 1/2jam.
  2. Ceduk sedikit adunan dan lenserkan ke atas kuali leper. Buat dari arah jam, mulakan dari tepi dulu kemudian sapukan bahagian tengah dengan sisa tepung yang masih ada di tangan.
  3. Setelah rata, biarkan sampai tepung masak sebentar. Angkat tepung yang telah masak dan letakkan dalam pinggan. Boleh disusun berlapis-lapis kerana ia tidak melekat.

Cara Penyediaan Untuk Inti Popia Basah

  1. Kisar bawang besar, bawang putih dan udang kering. Panaskan sedikit minyak dan masukkan bahan yang dikisar tadi.
  2. Kemudian tambahkan sos tiram dan secubit garam. Masukkan pula sayuran dan masak hingga sedikit layu.

Cara Penyediaan Untuk Sos Sambal Popia Basah

  1. Kisar cili kering, bawang besar dan bawang putih. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar hingga garing.
  2. Masukkan kicap dan gula perang, garam dan perasa. Ambil sekeping kulit popia dan sapukan dengan sedikit sambal.
  3. Letak satu sudu besar inti dan taburan bawang goreng lipat macam biasa dan gulung sedia untuk dimakan.

Catatan

  • Cara penyediaan popia bergantung pada citarasa. Jika anda hendak letakka sambal dahulu pun boleh dan nak curah atas popia kemudian pun boleh. Ikut selera anda.

Sekali pandang memang terliur kan. Nikmat rasanya buat sendiri ni. Dapat buat saiz gemuk dan padat intinya.

Simpanlah resepi popiah basah paling simple dan sedap ni! Lepas ni kalau teragak nak buat boleh buka resepi ni semula. Semoga bermanfaat.

Ingin mencuba lagi resepi lain? Di sini kami sertakan beberapa lagi resepi yang boleh anda cuba. Confirm menjadi punya! Jangan lupa juga untuk kongsikan resepi ini!

Originally posted 2022-10-01 02:43:34.

Tinggalkan komentar